
Kelantan dilanda banjir, jumlah mangsa meningkat kepada 750 orang
KOTA BHARU: Situasi banjir di Kelantan bertambah buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 750 orang selepas Tumpat dan Kota Bharu turut dinaiki air.
Bachok sebelum ini menjadi kawasan pertama terjejas dengan 47 mangsa dipindahkan.
Menurut laporan InfoBencanaJKM pada 7.30 malam, seramai 311 keluarga kini berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.
Bachok merekodkan jumlah paling ramai iaitu 334 orang di dua PPS. Di Tumpat terdapat 323 mangsa, manakala di Kota Bharu seramai 93 orang dipindahkan.
MetMalaysia dalam kenyataan turut menjangkakan hujan lebat peringkat buruk berterusan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sehingga Isnin.
Hujan di beberapa jajahan lain termasuk Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai dijangka berpanjangan hingga Rabu.

