
KPM Ambil Tindakan Siasat Dakwaan Kebocoran Kertas SPM
PUTRAJAYA — Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggerakkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya pihak tertentu yang menawarkan kertas peperiksaan SPM untuk dijual secara dalam talian.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, berkata isu tersebut mula dikesan selepas beberapa tangkap layar tular, meskipun pihak kementerian belum menerima sebarang laporan rasmi setakat ini.
Tular di media sosial dakwaan bahawa soalan peperiksaan SPM ditawarkan dengan harga serendah RM499 setiap subjek, malah disertakan “jaminan lulus cemerlang” atau wang dikembalikan.
Dr. Azam menegaskan keseluruhan proses penyimpanan dan pengurusan kertas soalan SPM dilindungi prosedur keselamatan yang ketat, termasuk di kawasan terjejas banjir.
“Kertas soalan kini disimpan di lokasi selamat, termasuk lokap balai polis yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Peperiksaan SPM 2025 melibatkan lebih 413,000 calon daripada pelbagai aliran pendidikan.

