Rampasan dadah besar-besaran di Kelantan bukti penguatkuasaan berkesan – Timbalan MB

Rampasan dadah besar-besaran di Kelantan bukti penguatkuasaan berkesan – Timbalan MB

KOTA BHARU: Penahanan suami isteri dan besar-besaran di Kelantan membabitkan nilai jutaan ringgit sejak kebelakangan ini jelas membuktikan penguatkuasaan di lapangan sedang berjalan dengan berkesan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan besar itu.

Tegasnya, tidak perlu ada persepsi negatif terhadap Kelantan kerana apa yang lebih penting ialah tindakan tegas dan hasil yang nyata.

“Kerajaan Kelantan memandang serius isu penyalahgunaan dadah yang mampu menghancurkan masa depan generasi.

“Kita menegaskan bahawa penguatkuasaan perlu diperkasakan secara konsisten oleh semua agensi berkaitan supaya masalah ini dapat ditangani secara lebih menyeluruh,” katanya menerusi Facebook.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga sedar sebagai negeri yang berkongsi sempadan darat dengan negara jiran, Kelantan berdepan cabaran unik dengan aktiviti penyeludupan yang semakin licik.

Katanya, sempadan yang panjang, laluan tikus yang banyak serta sindiket antarabangsa memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan kerjasama pelbagai agensi di semua peringkat.

“Pada masa sama, kita tidak hanya berpeluk tubuh. Kita turut mengambil inisiatif melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan.

“Selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam, Kelantan akan terus konsisten, tegas dan berprinsip dalam mendukung segala usaha membanteras dadah.

“Kita yakin dengan kerjasama erat semua pihak, termasuk agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan, Kelantan mampu menjadi model negeri bebas najis dadah meskipun berdepan cabaran sebagai pintu masuk utama di sempadan negara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, polis Kelantan menahan pasangan suami isteri dan merampas 90 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM3.1 juta di Kuala Krai dan Pasir Puteh, kelmarin.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )