
RM1.96 Bilion Dinaik Taraf Sistem Air Bagi Pacu Pembangunan Seimbang di Kapit
RM1.96 Bilion Lonjak Kesejahteraan Penduduk Kapit Melalui Projek Air dan InfrastrukturKAPIT: Dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan besar sebanyak RM1.96 bilion untuk menaik taraf sistem bekalan air di seluruh Kapit.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, projek itu bakal memastikan keseimbangan bekalan air yang stabil dan mampan, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk.
“Dengan dana tambahan RM300 juta daripada kerajaan persekutuan, projek ini akan memastikan bekalan air yang lebih efisien dan menampung keperluan masa depan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat SDCCM.
Selain sistem air, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa projek jalan penghubung strategik yang akan memudahkan pergerakan ke kawasan empangan Baleh dan rumah panjang sekitar Kapit.
Abang Johari berkata, sebanyak RM122 juta telah diperuntukkan bagi menyelesaikan projek Sungai Merirai, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) kini melaksanakan 41 projek bernilai RM400 juta di kawasan itu.
Pada fasa pembangunan seterusnya, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada pembangunan pusat komersial, pertanian tanah tinggi, dan aktiviti hiliran di Sungai Baleh dan Sungai Rajang bagi memperkukuh ekonomi tempatan.
“Kita mahu rakyat luar bandar menikmati hasil pembangunan melalui peningkatan ekonomi komuniti setempat. Bila infrastruktur lengkap, tumpuan kita beralih kepada aktiviti ekonomi agar mereka mendapat manfaat langsung,” jelasnya.

