Sarawak Kukuhkan Komitmen Kelestarian Tenaga Hidro Menjelang 2030

Sarawak Kukuhkan Komitmen Kelestarian Tenaga Hidro Menjelang 2030

KUCHING (5 Nov) – Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini dengan menyasarkan semua empangan hidroelektrik utama memperoleh Pensijilan Kelestarian Tenaga Hidro (HSS) menjelang tahun 2030.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sasaran itu sejajar dengan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui secara bertanggungjawab serta mematuhi piawaian antarabangsa.

“Usaha ini akan memperkukuh kredibiliti Sarawak sebagai rakan tenaga bersih yang dipercayai, seiring aspirasi kita untuk menjadi pusat tenaga hijau ASEAN,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), sempena Persidangan Antarabangsa Ke-3 Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan (ICDSME 2025), di Kuching.

Menurut beliau, kejayaan Empangan Hidroelektrik Bakun (2,520MW) memperoleh Pensijilan Perak HSS dan Anugerah Blue Planet 2025 membuktikan bahawa tenaga hidro berskala besar mampu diurus dengan beretika serta lestari.

Abang Johari menambah bahawa Empangan Batang Ai, yang genap 40 tahun tahun ini, menjadi bukti awal kecekapan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui. Ia kini diperkaya dengan Ladang Solar Terapung 50MW yang menggabungkan teknologi solar dan hidro bagi penggunaan sumber yang lebih efisien.

“Sarawak bukan sahaja menghasilkan tenaga hijau, tetapi menunjukkan kepada dunia bahawa pembangunan mampan dan kemajuan ekonomi boleh berjalan seiring,” katanya.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )