Terengganu Tetapkan Tarikh Akhir 29 November, Felda Bakal Berdepan Tindakan Undang-Undang

Terengganu Tetapkan Tarikh Akhir 29 November, Felda Bakal Berdepan Tindakan Undang-Undang

KUALA TERENGGANU, 9 November – Kerajaan Negeri Terengganu memberi amaran tegas kepada Felda bahawa tindakan undang-undang akan diambil sekiranya agensi itu gagal memenuhi tuntutan dan syarat penyelesaian sebelum 29 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata Felda diberi 40 hari untuk memberi maklum balas mengenai isu pengoperasian Ladang FGV Setiu 1 dan ladang-ladang lain, namun tiada sebarang jawapan diterima sehingga kini.

“Tarikh akhir tidak akan berubah. Jika masih tiada tindakan pada 29 November, kerajaan negeri akan memulakan proses undang-undang,” katanya.

Beliau menjelaskan tindakan itu akan dibuat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, melibatkan pihak yang didapati menceroboh atau mengusahakan tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Isu tersebut membabitkan kira-kira 15,000 hektar tanah milik kerajaan negeri yang telah diusahakan Felda sejak 1985, termasuk Ladang FGV Setiu 1 yang berkeluasan 1,742 hektar.

Kerajaan negeri mendakwa Felda telah menikmati hasil lumayan daripada tanah tersebut selama lebih 40 tahun tanpa membuat bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan yang dipersetujui bersama.

“Kita terbuka kepada penyelesaian, tetapi tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak rakyat dan kedaulatan negeri,” tegas Dr. Azman.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )