
Tidak tahu menahu isu Khairy, rombakan Kabinet belum dibincang – Saifuddin
PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan mengetahui sebarang maklumat mengenai khabar angin bahawa Khairy Jamaluddin bakal kembali ke Kabinet pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya tiada maklumat tentang itu,” katanya ringkas selepas menghadiri Simposium AI Transformasi Keselamatan 2025, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan beliau hanya pernah diminta memberi pandangan mengenai penyusunan Kabinet ketika awal pembentukan kerajaan tiga tahun lalu.
“Sekarang ini, Perdana Menteri sudah cukup berpengalaman dan memahami keperluan barisan pentadbirannya. Saya fikir beliau mempunyai pertimbangan terbaik dalam perkara ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa segala keputusan pelantikan baharu Kabinet adalah sepenuhnya hak dan prerogatif Perdana Menteri.
Ketika ditanya tentang dakwaan rombakan Kabinet yang dikatakan akan diumumkan awal Disember, beliau menafikan wujud sebarang perbincangan mengenainya.
“Saya berjumpa Perdana Menteri hampir setiap hari, tapi topik itu tidak pernah dibincangkan,” katanya sambil menolak spekulasi yang tular di media.

