
Pearly-Thinaah dan Ling Ching Cemerlang, Jun Hao Tersingkir di Jepun Masters
Beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Jepun Masters 2025, selepas menewaskan gandingan muda Jepun, Mikoto Aiso dan Momoha Niimi, dalam pertembungan sengit di Kumamoto, hari ini.
Turun sebagai pilihan pertama kejohanan, Pearly-Thinaah berdepan tentangan awal sebelum mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menang 18-21, 21-9, 21-17 dalam 52 minit.
Pasangan ranking kedua dunia itu bakal berdepan ujian lebih besar apabila dijadual menentang Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dari Korea Selatan (ranking ke-20 dunia) di pusingan kedua.
Dalam saingan beregu lelaki, Choi Sol Gyu-Goh V Shem tidak bernasib baik apabila tumbang kepada gandingan tuan rumah Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa dengan keputusan 18-21, 19-21 dalam masa 40 minit.
Bagi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao turut terkandas selepas tewas tipis kepada H.S. Prannoy dari India, 21-16, 13-21, 21-23 dalam perlawanan berdurasi 1 jam 8 minit.
Kekalahan itu bermakna tiada wakil perseorangan lelaki Malaysia di bawah BAM yang berjaya melepasi pusingan pertama.
Namun, Wong Ling Ching memastikan cabaran Malaysia tidak berakhir apabila menumpaskan Nanaho Kondo dari Jepun 21-16, 21-11 untuk melangkah ke pusingan kedua, di mana dia bakal menentang Michelle Li dari Kanada, pemain ranking ke-15 dunia, esok.

