
SAPP tunjuk kesediaan awal, umum enam calon termasuk tiga muka baharu
KOTA KINABALU, 7 Nov — Parti Progresif Sabah (SAPP) mencipta langkah awal dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan menjadi parti pertama yang mengumumkan barisan calonnya secara rasmi, menampilkan enam calon, separuh daripadanya muka baharu.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata pengumuman itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi ke-233, di mana semua calon diluluskan secara sebulat suara — satu bukti kesepakatan dalaman parti.
“Langkah ini menunjukkan SAPP sentiasa teratur, berdisiplin dan mempunyai perancangan jelas. Kami mahu mendahului dalam persiapan, bukan hanya menunggu,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat parti di sini.
Antara calon baharu yang diperkenalkan ialah Yong Yit Jee (Likas), Henley Liew Yun Ye (Tanjung Papat) dan Yvonne Yong Yit Phung (Segama), manakala tokoh berpengalaman termasuk Datuk Edward Dagul (Limbahau), Datuk Japiril Suhaimi (Kundasang) dan Gee Tien Siong (Luyang).
Yong berkata, gabungan calon muda dan berpengalaman ini memberi kelebihan kepada SAPP untuk menyeimbangkan idea baharu dengan pengalaman politik matang, sekali gus menarik pelbagai lapisan pengundi.
Beliau menambah, SAPP kini memasuki fasa kempen dengan lebih awal berbanding parti lain, dan akan mengumumkan manifesto serta hala tuju kempen dalam masa terdekat.
Pada majlis sama, Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong We Kong menyerahkan Watikah Calon dan borang pencalonan rasmi kepada keenam-enam calon, menandakan bermulanya jentera kempen parti di seluruh Sabah.

