WARISAN perjuang semangat ‘Sabahanisasi’, bukan politik berasaskan daerah – Darell

WARISAN perjuang semangat ‘Sabahanisasi’, bukan politik berasaskan daerah – Darell

TAWAU, 5 Nov — Timbalan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Darell Leiking, menegaskan bahawa parti itu tidak diasaskan atas dasar daerah, keturunan mahupun asal-usul pemimpinnya, sebaliknya berjuang atas semangat perpaduan sejati rakyat Sabah melalui konsep ‘Sabahanisasi’.

Berucap pada Program Jelajah Inspirasi DSSA di Kukusan malam tadi, Darell menolak persepsi bahawa kepimpinan WARISAN berpaksikan kelompok tertentu seperti ‘Sempornanisasi’ atau ‘Penampangnisasi’, yang sering dijadikan modal oleh pihak lawan untuk menjejaskan imej parti.

“WARISAN tidak menilai seseorang berdasarkan poskod atau tempat lahirnya.

“Datuk Seri Shafie Apdal mungkin berasal dari Semporna dan saya dari Penampang, namun perjuangan kami adalah untuk semua rakyat Sabah — bukan untuk mana-mana daerah semata-mata,” katanya.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2016, WARISAN konsisten memperjuangkan kesejahteraan rakyat Sabah secara menyeluruh serta menolak politik sempit berasaskan kaum, agama atau wilayah.

“Apabila pihak lawan gagal menjawab isu sebenar yang diketengahkan oleh Presiden kami, mereka memilih untuk memainkan sentimen daerah bagi memecahbelahkan rakyat dan menimbulkan keraguan terhadap WARISAN,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kepimpinan WARISAN kini dianggotai pelbagai lapisan masyarakat dari pantai timur, pantai barat hingga ke kawasan pedalaman, melambangkan kekuatan perpaduan serta kepelbagaian sebenar rakyat Sabah.

“WARISAN adalah parti untuk semua tanpa mengira latar belakang, agama mahupun bangsa. Inilah semangat Sabahanisasi yang menjadi teras perjuangan kami,” katanya.

Darell turut memberi peringatan bahawa perpecahan dalam kalangan rakyat hanya akan menguntungkan pihak lawan, dengan mengaitkannya kepada kisah klasik ‘The Romance of the Three Kingdoms’, yang menggambarkan bagaimana kelemahan berpunca daripada perbalahan dalaman.

“Apabila kita berpecah, yang menang bukanlah rakyat — sebaliknya musuh kita. Sebab itu kita mesti bersatu di bawah panji perjuangan Sabahanisasi,” tegasnya.

Beliau menutup ucapannya dengan menegaskan bahawa WARISAN akan terus komited memperjuangkan politik yang menyatukan rakyat Sabah, bukannya politik yang menimbulkan perpecahan.

“Kita tidak mahu politik yang memisahkan, tetapi politik yang mempersatukan. WARISAN akan terus berjuang untuk sebuah Sabah yang inklusif, makmur dan dimiliki oleh semua,” katanya.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )